SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERTAHANAN AWAM KE-67

SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERTAHANAN AWAM KE-67

Oleh: Abu Bakar bin Abdul Jalal

Ketika merasmikan Kompleks Angkatan Pertahanan Awam  Malaysia (APM) Daerah Langkawi di Jalan Ayer Hangat pada 17 Mac 2019, TunDr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia berkongsi pengalaman semasa beliau diusia remaja dengan menyertai Civil Defence Corps pada awal tahun 1950-an. “Tujuan saya berkongsi pengalaman yang sedikit dalam perkhidmatan seperti APM ialah saya sedar akan bahaya yang dihadapi anggota APM apabila menjalankan tugasan mereka”. Tambahnya lagi, “Mungkin bahaya itu tidak dihadapi setiap masa tetapi adakalanya ia akan menjadi begitu mencabar.”

Pendedahan Tun Dr. Mahathir yang mengatakan beliau pernah menyertai Civil Defence Corps pada awal tahun 1950-an membuktikan perkhidmatan APM telah lama wujud di negara ini dan disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk perdana menteri sendiri yang pernah berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan. Rakyat Malaysia amnya, dan warga APM khasnya harus bersyukur kerana perdana menteri yang kita kasihi adalah seorang bekas sukarelawan beruniform yang turut menyumbang kepada keamanan negara ketika aman dan semasa darurat dahulu.Sesungguhnya Malaysia pernah melalui pelbagai bencana besar yang mengorbankan nyawa antaranya tragedi Kondominium Highland Towers di Ulu Kelang pada tahun 1993, tanah runtuh di Genting Sempah, Pahang pada tahun 1995, Tsunami pada tahun 2004, banjir besar yang melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada akhir tahun 2014 dan banyak lagi.

Antara objektif utama APM ialah mengurangkan risiko akibat bencana dengan cara menyediakan pusat-pusat perlindungan semasa berlakunya bencana,danmemberi respons kepada bencana tersebut dengan cara menyediakan perkhidmatan kecemasan. Manakala fungsi terpenting APM ialah melaksanakan tugas menyelamat, memberi perlindungan, khidmat kemanusiaan daripada sebarang ancaman musuh, bencana, kecemasan, menilai dan menyebar maklumat, khidmat nasihat termasuk amaran kepada orang awam berkaitan sebarang ancaman musuh, kecemasan dan juga bencana.

Peranan Pertahanan Awam seterusnya ialah melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, manusia atau harta benda penduduk awam sekiranya berlaku, atau akan berlaku bencana serta, memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana. APM juga mempunyai pasukan penyelamat pantainya sendiri yang diperkenalkan pada 1 Julai 2003 seperti pasukan Baywatch di negara – negara barat. Kini Baywatch Malaysia semakin disenangi oleh pengunjung pantai, terutamanya pelancong -pelancong asing yang gemar dengan aktiviti – aktiviti di laut dan pantai. Dengan adanya perkhidmatan seperti ini, pengunjung pantai akan berasa selamat dan yakin untuk membawa keluarga beriadah di tepi pantai, sekaligus mempromosikan aktiviti pelancongan yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Rakyat Malaysia seharusnya dapat membezakan antara peranan dan fungsi APM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).  APM tertakluk dengan Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221) di bawah Jabatan Perdana Menteri, manakala JBPM tertakluk dengan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) di bawah Kementerian Perumahandan Kerajaan Tempatan. APM diketuai oleh seorang Ketua Pesuruhjaya dan JBPM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah.

Kita sepatutnya mengambil pengajaran terhadap tragedi besar yang tidak dijangka seperti Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004, dan mengorbankan lebih 240,000 nyawa di Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Maldives, Malaysia serta beberapa negara lain (sumber: United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs). Bencana seperti kebakaran hutan, tanahruntuh, banjir besar, tsunami, taufan, kemarau dan sebagainya boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira tempat serta negara. Untuk itu disyorkan seorang daripada ahli keluarga kita seboleh-bolehnya dilatih sebagai seorang sukarelawan APM, tidak kirasama ada individu tersebut seorang peguam, pegawai bank, guru atau apa sahaja pekerjaan yang mereka ceburi.

APM adalah salah satu agensi kerajaan yang telah lama wujud dan diakui oleh perdana menteri sendiri namun tidak disedari oleh kebanyakan daripada kita, kecuali mereka yang pernah menerima bantuan secara langsung daripada APM. APM bukanlah bersaing dengan mana-mana jabatan/ agensi beruniform yang lain, tetapi lebih merupakan pelengkap kepada salah satu komponen pelaksana dasar kerajaan Malaysia ketika aman mahupun semasa bencana atau darurat. Belia-belia yang inginkan satu cabaran disamping mengisi masa terluang pada hari minggu/ cuti dan bersedia berkhidmat untuk negara dialu-alukan untuk menyertai APM. Terima kasih diucapkan kepada semua warga APM yang masih berkhidmat serta yang telah bersara.

SELAMATMENYAMBUT HARI ULANGTAHUNPERTAHANANAWAM KE-67!

Penulis ialah bekas pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia dan Timbalan Pengerusi Tetap, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan dan juga salah seorang Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)

Print Friendly, PDF & Email
Share