Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA)

PASUKAN KHAS APM
SPECIAL DISASTER AND EMERGENCY RESPONSE TEAM
(SPIDER TEAM)

Sejarah penubuhan Pasukan Khas APM. Pasukan ini telah ditubuhkan pada 15 Ogos 2008 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sembilan (PUSPA). Pasukan Khas APM awalnya ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 100 pegawai dan anggota seluruh Malaysia dan penempatan di buat mengikut zon-zon iaitu Zon utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak. Pada 1 Ogos 2017, pasukan ini telah diberi penjenamaan semula iaitu dari Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) kepada Pasukan Khas APM (Special Disaster and Emergency Tesponse Team) (SPIDER TEAM)

Signifikannya, penubuhan  Pasukan Khas APM yang kini jumlah keanggotaan seramai 84 orang bertujuan untuk melaksanakan tugas-tugas operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) secara sistematik, teratur dan efisien di dalam sesuatu bencana besar. Pasukan ini bertindak dalam keadaan yang mana bencana tersebut memerlukan kemahiran dan kepakaran serta peralatan canggih di mana tugas–tugas  mencari dan menyelamat sukar dijalankan.

Hasrat penubuhan pada ketika itu adalah untuk membentuk satu pasukan yang dinamik serta berkemahiran tinggi yang mampu menangani sebarang tugas yang mencabar ketika berlakunya bencana yang amat kompleks. Setiap Pegawai Pasukan Khas APM diwajibkan mengikuti kursus khas selama 6 bulan merangkumi modul:

  1. Ketahanan Diri;
  2. kepakaran mencari menyelamat (Search And Rescue);
  3. kepakaran menyelamat selam (Scuba);
  4. menyelamat di kawasan berbahaya (HAZMAT);
  5. menyelamat di udara, hutan serta air;dan
  6. kursus kemahiran lain-lain.

Kursus-kursus ini diadakan secara berkala setiap tahun bagi memantapkan setiap pegawai Pegawai Pasukan Khas APM, dan ia tidak terhad kepada itu sahaja. Malah, pasukan ini turut didedahkan dengan:

  1. Kursus Air Dispatcher (Pelepas) dan Fast Roping dengan usaha sama Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM);
  2. Kursus Combat Medic dengan kerjasama Institut Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN) Kem Terendak, Melaka;
  3. Latihan Abseilling menggunakan helikopter;
  4. Kursus International Urban Search And Rescue (IUSAR) anjuran Singapore Civil Defence Academy (SCDA);
  5. Kursus Mass Casualty Management anjuran International Committee of the Red Cross (ICRC); dan
  6. Kursus Pengendalian Bahan Berbahaya (HAZMAT) anjuran KLIA Fire Rescue & Service Airport.

Realitinya, bencana masa kini kian mencabar dan Pasukan Khas APM perlu menjadi contoh ikutan (Role Model) kepada pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan ketika bencana.

Secara umumnya, pengaktifan Pasukan Khas APM nanti bukan sahaja akan lebih tertumpu kepada operasi menyelamat khas. Akan tetapi, kerja-kerja pengurusan sebelum, semasa dan selepas bencana serta khidmat nasihat kepada persediaan dan persiapan menghadapi kecemasan turut dilaksanakan ketika aman. Dengan ini, kemahiran yang mereka ada akan dapat digunakan secara optimum dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat terpelihara.

Pasukan Khas APM membentuk satu komponen di bawah organisasi Angkatan Pertahanan Awam yang mantap, dinamik dan efisyen. Mereka sentiasa bersedia dalam menghadapai apa jua cabaran mendatang, sesuai dengan lambang ikatan pada Figure of Eight pada logo Pasukan Khas APM yang menggambarkan paduan keringat dan ketabahan mental dan fizikal dalam menangani situasi kritikal dan cemas.  Untuk makluman, Figure of Eight dan Tali adalah merupakan peralatan penting yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Ia bukan sahaja digunakan untuk tugasan menyelamat, akan tetapi sebagai personal protective equipment (ppe) kepada penyelamat itu sendiri.

Pelbagai latihan kemahiran khas meliputi:

  1. Latihan kecergasan;
  2. Modul pengurusan bencana;
  3. Modul mencari dan menyelamat (Search and Rescue (SAR));
  4. Menyelamat ketika bangunan runtuh; dan
  5. Pengaktifan serta pengenalan kepada sistem International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG).

Kursus kemahiran seperti ini adalah penting kepada Pasukan Khas APM kerana, ia memberi makna yang amat besar dan menjadi medan utama dalam melahirkan pegawai pasukan elit yang profesional dan terlatih di dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta berperanan dalam mendokong penyebarluasan fungsi pertahanan awam secara amnya dalam merealisasikan agenda keselamatan awam, rakyat dan negara.

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melihat kepada keperluan untuk membentuk warga kerjanya yang berkemahiran tinggi sehingga menjadi jurulatih atau ’instructor’ yang diiktiraf. Proses ini memerlukan bukan sahaja tahap profesionalisma Pasukan Khas APM yang positif, berdisplin dan terlatih tetapi juga menyemai budaya menimba sebanyak mungkin kemahiran yang telah tersedia agar dapat direalisasikan.

Sebagai menyanjung keringat dan bakti anggota-anggota Pasukan Khas APM, YAS Mej. Jen. (B) KPj. (PA) Dato’ Azmy Bin Haji Yahya, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah menyarungkan beret khas kepada semua anggota-anggota Pasukan Khas APM pada 21 Julai 2017. Beret khas ini adalah sebagai lambang penjenamaan semula kepada pasukan ini dan warna biru dipilih bagi melambangkan perpaduan dan semangat berpasukan dalam menghadapi segala rintangan. Warna biru ini juga adalah selaras dengan penggunaan warna piawai Organisasi Pertahanan Awam Antarabangsa (International Civil Defence Organisation (ICDO).

Hubungi Kami

PPj. (PA) Abdul Wahab Bin Rahim
Pengarah
Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi
Ibu Pejabat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

No Tel : 03-8920 6080
No Fax : 03-8920 6360
Email : abdulwahab@civildefence.gov.my

 65,713 total views,  80 views today