Perlembagaan KERAP

Carta_Organisasi_Kerap_2013

 UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

KELAB KEBAJIKAN DAN REKREASI

ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (KERAP)

 

PINDAAN 2012

 

NO. PENDAFTARAN 1589/93

KELULUSAN JPPM : PPP/WKL0221/92(34)

BERTARIKH 9 MEI 2012

 

 KELAB KEBAJIKAN & REKREASI PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (KERAP) ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA, JALAN PADANG TEMBAK, 50556 KUALA LUMPUR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

KELAB KEBAJIKAN DAN REKREASI PERTAHANAN AWAM (KERAP)

 PINDAAN 2012

(KELULUSAN JPPM : PPP/WKL0221/92(34) BERTARIKH 9 MEI 2012)

1. NAMA DAN TEMPAT MENJALANKAN URUSAN

  1. Kelab ini dikenali dengan nama Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pertahanan Awam dengan huruf singkatnya KERAP. Selepas ini disebutkan KERAP sahaja.
  2. Alamat berdaftarnya ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur atau di lain tempat atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa. Tempat mengadakan urusan kelab tidak boleh diubah tanpa mendapat kebenaran daripada Pendaftaran Pertubuhan terlebih dahulu.

2. LAMBANG DAN BENDERA

logo_kerap_2012

  1. Lambang KERAP adalah sebuah bulatan berwarna kuning melingkungi lambang Pertahanan Awam di dalamnya dengan KELAB KEBAJIKAN DAN REKREASI (KERAP) mengelilingi dalam bulatan tersebut manakala perkataan PERTAHANAN AWAM diletakkan di tapak logo.
  2. Bendera KERAP adalah berwarna putih bersih dengan logo KERAP terletak ditengah-tengahnya.

3. TUJUAN DAN MAKSUD

  1. Untuk mengadakan peluang-peluang, dan kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk ahli-ahli dalam lapangan sukan, kesusasteraan, kebudayaan serta menggalakkan rasa muhibah dan saling hormatmenghormati.
  2. Untuk membantu di dalam hal-hal kebajikan dan kebaikan ahli serta keluarga mereka.
  3. Untuk membeli, menyewa atau lain-lain cara untuk mendapatkan harta bergerak atau tak bergerak dan mana-mana hak atau keistimewaan yang difikirkan mustahak yang mungkin menjadi keperluan atau kemudahan bagi KERAP atau ahli-ahli KERAP dan untuk membaiki, mengurus, menjual, menyewa, memajak, melepaskan, memasukkan ke dalam akaun atau lain-lain cara dengan semua atau pada mana-mana bahagian daripada harta KERAP.
  4. Untuk bergabung dengan mana-mana Pertubuhan yang sah yang mempunyai tujuan-tujuan yang sama atau serupa pada keseluruhannya atau sebahagiannya.

4. KEAHLIAN

  1. Ahli Biasa
    1. Semua kakitangan Ibu Pejabat Pertahanan Awam layak diterima menjadi Ahli Biasa. Permohonan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat yang dengan seberapa segera mengemukakan kepada Jawatankuasa untuk dipertimbangkan. Jawatankuasa boleh dengan budi bicaranya menolak mana-mana permohonan tanpa memberi apa-apa sebab.
  2. Ahli Bersekutu
    1. Semua kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain di Ibu Pejabat Pertahanan Awam layak menjadi Ahli Bersekutu KERAP. Ahli Bersekutu tidak boleh mengundi dan memegang apa-apa jawatan di dalam KERAP.
    2. Bekas kakitangan Angkatan Pertahanan Awam atau bekas ahli KERAP yang bertukar, berhenti, bersara atau telah meninggalkan perkhidmatan atau keahlian KERAP boleh diterima sebagai Ahli Bersekutu. Jawatankuasa boleh dengan budi bicaranya menolak mana-mana permohonan tersebut tanpa memberi apa-apa sebab.
      Ahli Bersekutu tidak boleh mengundi dan memegang apa-apa jawatan di dalam KERAP. Isteri atau suami atau anak-anak ahli KERAP berumur tidak melebihi 18 tahun adalah layak menjadi Ahli Bersekutu KERAP tetapi tidak boleh mengundi atau memegang apa-apa jawatan di dalam Jawatankuasa pengurusan KERAP.
    3. Anak-anak ahli KERAP yang melebihi 18 tahun dan kepada mereka yang difikirkan boleh memberi sumbangan kepada KERAP boleh diterima. Mereka tidak layak untuk mengundi atau memegang apa-apa jawatan.
  3. Ahli Kehormat
    1. Jawatankuasa KERAP boleh melantik beberapa orang yang telah memberi sumbangan atau yang telah memberi kemanfaatan kepada KERAP sebagai Ahlu Kehormat. Mereka ini tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dan tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam KERAP.

5. KELAB GABUNGAN

  1. Mana-mana Kelab yang ditubuhkan oleh Pejabat-pejabat Cawangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia boleh memohon untuk bergabung dengan KERAP. Jawatankuasa boleh menerima atau menolak setiap permohonan itu tanpa memberi apa-apa sebab. Kelab Gabungan tidak mempunyai kuasa untuk mengundi di dalam apa-apa Mesyuarat KERAP tetapi boleh mengguna atau menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh pihak KERAP atau sebaliknya.

6. BAYARAN MASUK, YURAN-YURAN DAN LAIN-LAIN BAYARAN

  1. Ahli Biasa
    1. Bayaran Masuk : RM 2.00 setiap ahli
    2. Ahli KERAP hendaklah membayar yuran Kelab kepada Bendahari dengan pembayaran yuran dibuat empat (4) kali setahun (mewakili 3 bulan sekali setiap pungutan dengan bulan pungutan jatuh pada bulan Januari, April, Julai dan Oktober) pada atau sebelum 15hb. bulan pungutan seperti berikut :
      • Bil. Gaji Hakiki (RM) Kadar Yuran Sebulan (RM)
        1 < 1,000 3.00
        2 1,001 – 2,000 5.00
        3 2,001 – 3,000 7.00
        4 3,001 – 4,000 10.00
        5 4,0001 – 5,000 15.00
        6 > 5,001 20.00
    3. Ahli yang tidak membayar yuran bulanan lebih dari enam (6) bulan tidak layak mengundi atau memegang apa-apa jawatan serta menerima/menuntut apa-apa sumbangan yang disediakan oleh KERAP.
  2. Keahlian Bersekutu
    1. Bayaran Masuk : Percuma
    2. Yuran Tahunan  : RM 10.00
    3. Ahli bersekutu seperti di peraturan 4.2.3 adalah percuma.
  3. Kelab Gabungan
    1. Bayaran Masuk : RM 20.00
    2. Yuran Tahunan sebanyak RM 30.00 bagi setiap Kelab Gabungan
  4. Ahli Kehormat
    1. Akan diminta memberi sumbangan di atas budi bicara Jawatankuasa KERAP.
  5. Yuran-yuran Khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut di dalam masa yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

7. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN

  1. Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli KERAP hendaklah memberi kenyataan yang bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha KERAP dan membayar segala hutang-hutangnya.
  2. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang atau bertindak dalam cara yang akan mencemarkan nama baik KERAP bolehlah dipecat atau digantung keahliannya dalam sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.
  3. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tertentu, ahli hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungan secara bertulis. Pemecatan atau Penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agong menunda atau membatal keputusan itu, atas rayuan oleh ahli tersebut.

8. MESYUARAT AGONG

  1. Mesyuarat Agong adalah kuasa tertinggi dalam KERAP ini. Sekurangkurangnya satu perdua daripada jumlah ahli-ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli-ahli Jawatankuasa (ikut mana yang kurang) hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agong bagi mengesahkan bilangan (korum) untuk mesyuarat.
  2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu ditetapkan untuk mesyuarat maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih dari 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang KERAP dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli-ahli.
  3. Mesyuarat Agong Tahunan bagi KERAP hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah akhir tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 30 April pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agong Tahunan ialah :
    1. Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan kerja-kerja yang telah diaudit bagi tahun yang lalu.
    2. Menerima laporan Bendahari dan Penyata Kira-Kira yang telah diaudit bagi tahun lalu.
    3. Melantik ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk dua tahun yang akan datang.
    4. Menguruskan lain-lain perkara yang dibentangkan di dalam mesyuarat.
  4. Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agong Tahunan diadakan satu agenda (acara mesyuarat) termasuklah salinan-salinan peringatan mesyuarat, laporan-laporan, usul-usul (jika ada) dan penyata kira-kira KERAP bagi tahun lalu yang telah diaudit, salinan surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat berdaftar atau di tempat mesyuarat KERAP.
  5. Mesyuarat Agong Khas bagi Kelab ini boleh diadakan :
    1. Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
    2. Atas permintaan tidak kurang 50 peratus, ahli biasa KERAP dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.
  6. Mesyuarat Agong Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat. Pengurusan dan agenda untuk Mesyuarat Agong Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat. Perenggan 8.1 dan 8.2 di dalam perlembagaan ini berkenaan korum penangguhan mesyuarat khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agong Khas atas permintaan ahli-ahli maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agong Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

9. JAWATANKUASA

  1. Jawatankuasa KERAP adalah seperti berikut:
    1. Seorang Yang Dipertua
    2. Seorang Timbalan Yang Dipertua
    3. Seorang Setiausaha Kehormat
    4. Seorang Bendahari Kehormat
    5. 7 orang Ahli Jawatankuasa Biasa yang dipilih dalamMesyuarat Agong
    6. Yang Dipertua KERAP boleh melantik tidak lebih 2 orangAhli Jawatankuasa tambahan jika difikirkan perlu.
  2. Pemegang-pemegang jawatan KERAP ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas pemerintahan KERAP ini hendaklah warganegara Malaysia.
  3. Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia adalah secara automatik menjawat jawatan Penasihat. Jawatan Yang Dipertua adalah secara automatik disandang oleh individu yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi). Lain-lain Ahli Jawatankuasa yang tersebut di atas hendaklah dicadangkan, disokong dan dipilih menurut undi terbanyak di dalam Mesyuarat Agong Tahunan (apabila genap tempoh seperti yang ditetapkan di peraturan 8.3 (c). Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap dua tahun.
  4. Pekerjaan Jawatankuasa ialah mengelola dan mengatur kerja–kerja harian KERAP dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan KERAP dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agong. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh membuat keputusan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agong tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa taat kepada keputusan Mesyuarat Agong. Jawatankuasa hendaklah memberi laporan berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agong tahunan.
  5. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam 3 bulan. Pengumuman tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian, atau tidak kurang dari 4 orang ahli Jawatankuasa boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
  6. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan daripada Ahli-ahli Jawatankuasa dengan Surat Pekeliling. Syarat-syarat berikut boleh dianggap sebagai telah diterima:
    1. Masalah-masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam Surat Pekeliling yang dihantar kepada Ahli-ahli Jawatankuasa;
    2. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli-ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka cadangan itu dan
    3. Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui Surat Pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa kemudiannya untuk disahkan dan dicatitkan di dalam peringatan mesyuarat.
  7. Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah akan disifatkan sebagai tela meletak jawatan di dalam Jawatankuasa.
  8. Jika seorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau bertukar atau meletak jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli KERAP yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agong Tahunan diadakan.
  9. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Kehormat atau lain-lain pegawai untuk menjalankan urusan-urusan KERAP dan melantik pengurusan-pengurusan dan kakitangan-kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurusan atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan merosakkan KERAP.
  10. Jawatankuasa ini boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberi kewajipan-kewajipan khas kepada sebarang Ahli Jawatankuasa.

10. KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEMEGANG JAWATAN

  1. Yang Dipertua dalam masa jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agong dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek KERAP bersama-sama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.
  2. Timbalan Yang Dipertua hendaklah memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaan Yang Dipertua. Timbalan Yang Dipertua boleh menandatangani cek-cek KERAP bersama-sama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.
  3. Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran KERAP mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah mesyuarat-mesyuarat Agong dan Mesyuarat Jawatankuasa. Beliau bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua rekod-rekod. Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, umur, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan alamat tiap-tiap ahli. Setiausaha Kehormat hendaklah membuat catitan-catitan mesyuarat.Setiausaha Kehormat hendaklah menandatangani semua cek-cek KERAP bersama-sama Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua dan Bendahari Kehormat. Setiausaha hendaklah di dalam masa 28 hari dari tarikh Mesyuarat Agong Tahunan diadakan mengirim Penyata Tahunan Kerap kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan 1986.
  4. Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan KERAP. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek KERAP bersama-sama Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha Kehormat.
  5. Lain-lain tugas dan tanggungjawab pemegang-pemegang jawatan KERAP yang ditentukan oleh Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua dari masa ke semasa berhubung dengan mana-mana urusan dan pentadbiran KERAP.

11. KEWANGAN

  1. Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi undang-undang ini, wang KERAP ini boleh digunakan untuk perkara-perkara berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan KERAP termasuk belanja pentadbiran, pembiayaan dan perbelanjaan kegiatan KERAP tetapi tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang dijatuhkan hukuman di mahkamah.
  2. Bendahari Kehormat dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM3,000.00 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama KERAP.
  3. Segala cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira KERAP hendaklah ditandatangani bersama Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Kerana ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat, maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang KERAP.
  4. Semua perbelanjaan KERAP hendaklah diluluskan oleh Jawatankuasa. Walau bagaimanapun, sesuatu perbelanjaan luar jangka KERAP boleh diluluskan oleh Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua. Perbelanjaan yang kurang daripada RM200.00 bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Bendahari Kehormat. Perbelanjaan-perbelanjaan ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa yang berikut.
  5. Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan berserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira mengikut Peraturan 12, dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agong Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat berdaftar atau di tempat mesyuarat bagi KERAP.
  6. Tahun kewangan KERAP ini bermula dari 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember tiap-tiap tahun.

12. PEMERIKSA KIRA-KIRA

  1. Jawatankuasa boleh melantik seorang yang difikirkan sesuai sebagai Pemeriksa Kira-kira Kehormat. Seorang lagi yang bukannya pemegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula. Jika berlaku kekosongan, Yang Dipertua berkuasa melantik mana-mana ahli KERAP bagi memenuhi kekosongan itu.
  2. Pemeriksa-pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira KERAP bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agong. Mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Yang Dipertua memeriksa kira-kira KERAP bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan-jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

13. PENGAMANAH

  1. Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agong Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh KERAP. Mereka akan diamanahkan semua harta kepunyaan KERAP dengan menandatangani suatu surat amanah.
  2. Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau menukar milik harta kepunyaan KERAP dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agong KERAP.
  3. Seorang Pengamanah boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agong oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugas atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang pengamanah yang baru dilantik di dalam Mesyuarat Agong.

14. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

  1. Di antara mesyuarat-mesyuarat Agong, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan bila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang.
  2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam Mesyuarat Agong, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agong.

15. PENAUNG

  1. Mesyuarat Agong atau Jawatankuasa KERAP boleh memutuskan untuk melantik seorang atau beberapa orang kenamaan yang sesuai sebagai Penaung KERAP.

16. LARANGAN

  1. Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam KERAP: Rouleete, Latto Fan Tan, Poh Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow Chan Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung kepada perjudian.
  2. KERAP atau ahli-ahlinya tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan di dalam Ordinan Kesatuan Kerja 1959.
  3. Kelab ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama KERAP atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.
  4. Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah seksyen-seksyen Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi KERAP kepada mana-mana ahli KERAP.

17. PINDAAN UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

  1. Undang-undang dan peraturan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agong. Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada undang-undang dan peraturan ini hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 28 hari dari tarikh keputusan hendak membuat perubahan atau kuat kuasanya mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

18. PEMBUBARAN

  1. Undang-undang dan peraturan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agong. Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada undang-undang dan peraturan ini hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 28 hari dari tarikh keputusan hendak membuat perubahan atau kuat kuasanya mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
  2. Sekiranya KERAP hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas maka segala hutang dan tanggungan KERAP yang sah mengikut undang-undang hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Agong.
  3. Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftaran Pertubuhan di dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

 7,721 total views,  14 views today