Perutusan Ketua Pesuruhjaya APM

KPj. (PA) Mejar Jeneral (B) Dato' Azmy Bin Yahya

Director General

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

  1. Segala puji-pujian kepada Allah S.W.T Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, bersama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan Izin-Nya kita masih dapat meneruskan kehidupan ini seterusnya berpeluang untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam mengharungi tahun baru 2015. Segala pengalaman dan pelaksanaan amanah sepanjang 2014 perlu dijadikan iktibar dan penjana nilai tambah yang berguna untuk memastikan kesinambungan fungsi APM sebagai peneraju pertahanan awam dan keselamatan(safety) di Malaysia, Negara tercinta.
  2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang tinggi semua warga JPAM termasuk sukarelawan dalam menggalas tugas sepanjang tahun 2014. Kesungguhan dan pengorbanan anda semua amat saya hargai dan sanjungi.
  3. Kita telah melalui pelbagai cabaran pada tahun 2014 dengan jayanya. Banyak bencana, peristiwa pahit, kenangan, serta kejayaan yang telah dilalui oleh APM . Kita diuji dengan insiden hitam seperti pesawat MH370 hilang, pesawat MH17 ditembak jatuh, kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Cameron Highlands serta banjir besar yang melanda Negara terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah pada penghujung tahun 2014 lalu. APM berjuang, mengeluarkan keringat, memerah tenaga dan menggalas tanggungjawab yang besar. Saya bangga melihat keteguhan hati warga APM menjalankan tugas mencari dan menyelamat, memindahkan mangsa, melaksana tugas kebajikan di pusat pemindahan, memberi khidmat kaunseling serta menjalankan aktiviti pemulihan selepas bencana. Melalui rekod perkhidmatan talian kecemasan 999 pula, APM telah berjaya menangani sebanyak 127,736 kes kecemasan.
  4. Meskipun kita berbangga dengan pencapaian ini, tetapi ianya bukan penanda aras untuk kita berasa lega dan berpuas hati. Saya yakin dan percaya cabaran yang bakal kita tempuhi pada 2015 ini pastinya lebih hebat, sama ada dari aspek kecemasan, bencana ataupun ancaman musuh. Malah cabaran dalam mentransformasikan jabatan ini juga, sudah pasti menguji kesungguhan dan komitmen semua warga APM. Sehubungan itu, perancangan yang strategik dan teratur perlu dilaksanakan agar perkhidmatan dan keberadaan kita disedari dan disenangi oleh segenap lapisan rakyat.
  5. Malaysia semakin maju. Cabaran kian berubah. APM yang kita kenali hari ini, cukup matang untuk menghadapi sebarang kecemasan dan bencana. Namun, kita perlu bersedia menghadapi sebarang ancaman baru yang mampu mengugat keselamatan orang awam di Negara kita ini. Kebanjiran warga asing yang berhijrah ke Negara ini perlu diselidik dan dikaji kesannya dari aspek keselamatan dan pertahanan awam. Hari ini kita berhadapan dengan jutaan warga asing yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan sebahagian daripadanya sukar dikawal. Situasi ini sudah pasti sedikit sebanyak boleh mengancam keselamatan dan kita perlu melahirkan rakyat yang siapsiaga dalam menghadapi pelbagai situasi. Rakyat di negara ini perlu dipersiapkan dengan semua modul pertahanan awam termasuk menyelamat, pertolongan cemas, memadam kebakaran, keselamatan diri dan juga seni mempertahankan diri.
  6. Pengalaman bencana banjir yang lalu, banyak mengajar kita betapa pentingnya erti kesiapsiagaan awam. Tahap kesedaran yang masih sederhana di kalangan rakyat pada masa ini, perlu diambil peduli dan dipertingkatkan. Kesedaran ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Ianya bukan sahaja melibatnya komitmen yang mapan dalam diri warga APM sebagai pelaksana tetapi juga hubungan baik dan kerjasama bersama masyarakat perlu dititikberatkan. Persepsi dan penerimaan mereka terhadap APM merupakan kunci kepada kesedaran ini, seterusnya meyakini setiap modul yang kita kongsikan. Kita percaya bahawa misi menyelamat dan memindahkan mangsa, adalah peranan yang cukup penting dalam menghadapi bencana banjir ini. Namun, bila membicarakan bencana berskala besar, melibatkan ratusan ribu rakyat atau mungkin jutaan rakyat, peranan dalam mendidik, melahir, dan membentuk rakyat yang siapsiaga adalah jawapan yang paling tepat untuk menghadapinya. Justeru itu, saya amat berharap agar kita meningkatkan lagi pelaksanaan program-program kesedaran dan pembentukan kesiapsiagaan awam.
  7. Memfokuskan elemen kesiapsiagaan awam ini, tidak bermakna kita mengabaikan peranan kita semasa dan juga pasca bencana ataupun ancaman musuh. Saya juga percaya, seluruh warga APM dari pelbagai peringkat telah melaksanakan tanggungjawab ini dengan cemerlang dan mengikut SOP yang telah digariskan. Namun pencapaian ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa atau dalam erti kata lain, penambahbaikan berterusan. Jabatan ini kini menuju ke arah sebuah jabatan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa. Malah penglibatan rakyat yang dilantik sebagai anggota sukarela sebagai pendokong peranan ini jelas bertepatan dengan agenda merakyatkan perkhidmatan awam sepertimana yang disarankan oleh Ketua Setiausaha Negara. Usaha untuk mengangkat Jabatan ini menuju kecemerlangan, sudah pasti memerlukan kerjasama yang menyeluruh daripada setiap pegawai, kakitangan mahupun anggota sukarelawan, bilamana keserasian, persefahaman dan kerjasama sebagai satu pasukan amat diperlukan. Dan saya amat yakin, kita mampu melaksanakannya.
  8. Akhir kata, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pencapaian yang lalu. Kejayaan yang telah dicapai, perlu kita teruskan dan tambahbaik, manakala kelemahan yang ada, bersama kita perbaiki. Semoga dengan keikhlasan kita menggalas amanah rakyat selama ini, terus mendapat keberkatan Allah S.W.T. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di atas segala usaha yang telah dan akan dilaksanakan dalam memastikan Jabatan ini mencapai matlamat yang digariskan. Selamat maju jaya dan tingkatkan kecemerlangan.

Sekian, Wabilahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KPj. (PA) Mejar Jeneral (B) Dato’ Azmy Bin Yahya
Ketua Pesuruhjaya

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Print Friendly
Bahasa: