DI Malaysia terdapat beberapa nombor panggilan kecemasan iaitu 999, 994 dan 991 untuk memudahkan orang ramai mendailnya apabila berhadapan dengan sebarang keadaan kecemasan bagi mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi berkaitan.

   Bagaimanapun daripada penyediaan kemudahan itu, ia kadangkala mengundang kepada perbuatan negatif terutama mereka yang dianggap 'nakal' terutama kanak-kanak yang dengan sengaja mendailnya secara suka-suka atau dikategorikan sebagai 'panggilan main-main'.

   Fenomena ini agak membimbangkan hingga mencatatkan lebih 99.5 peratus daripada 26.3 juta panggilan 999 pada tahun lalu adalah palsu yang juga bermakna daripada keseluruhan panggilan kecemasan itu hanya 0.5 peratus sahaja benar-benar tulen. Kira-kira 72 peratus daripada 'pemanggil palsu' itu dilaporkan terdiri daripada golongan kanak-kanak.

   Melihat kepada sikap tidak bertanggungjawab ini, kerajaan memikirkan semula untuk hanya menyediakan talian 999 kepada orang ramai bagi mendapatkan apa juga bantuan kecemasan mulai awal tahun depan.

   Ini bermakna mulai 2008, tiada lagi talian 994 untuk panggilan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat mahupun 991 untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan talian 112 bagi penggunaan menerusi telefon bimbit.

   Panggilan kecemasan 999 itu akan dikendalikan oleh Telekom Malaysia (TM) yang kemudian menyalurkan maklumat itu kepada pelbagai agensi yang diperlukan termasuk hospital, polis dan balai bomba berhampiran.

   Apa yang menarik dengan penyediaan panggilan 999 ini akan membolehkan pihak terbabit membuat pemantauan yang lebih berkesan terhadap mana-mana pihak yang membuat 'panggilan main-main'.

   Ini kerana TM akan mempunyai keupayaan mengesan mana-mana pihak termasuk mereka yang menggunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan main-main berikutan arahan kerajaan yang mewajibkan setiap pemilik telefon bimbit mendaftar maklumat peribadi mereka.

   Bagi membendung budaya yang 'boleh menyebabkan orang lain menderita' ekoran penyalahgunaan kemudahan percuma ini, sudah sampai masanya kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bertindak lebih tegas menerusi peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

   Setakat ini, belum ada seorang pun yang didakwa di bawah Seksyen 233 akta itu, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

   Persoalannya, adakah mereka yang tidak bertanggungjawab terus dibiarkan membuat panggilan itu tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang? Sudah sampai masanya kerajaan tidak lagi berlembut dengan mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Mungkinkah jika mereka didakwa, ia boleh menakutkan yang lain?

   Bagaimanapun pihak berkuasa harus mempunyai beberapa garis panduan sebelum melakukan pendakwaan agar tidak 'menakutkan' orang ramai untuk terus mendail 999 berkali-kali jika berlaku kecemasan sebenar akibat kesesakan pada talian itu.

   Itulah cabarannya. Ini kerana terdapat laporan kes panggilan palsu melibatkan pemilik seorang telefon bimbit yang membuat panggilan tersebut sebanyak 4,600 kali setahun! Mungkin ini sudah 'tiada maaf bagimu' dan biarpun alasan ia dilakukan oleh anaknya (jika anaknya melakukan), sibapa harus dikenakan tindakan sewajarnya.

   Jika tidak, orang lain mungkin tidak gentar malah menjadikan amalan mendail panggilan 999 sebagai suka-suka atau hobi semata-mata. Budaya songsang dalam masyarakat harmoni dan penyayang ini perlu dibendung.

   Sebenarnya, penggunaan satu talian kecemasan dianggap begitu relevan apatah lagi di negara-negara maju seperti United Kingdom hanya menggunakan satu talian iaitu 999 dan memudahkan orang ramai mengingatinya.

   Sebagaimana kata Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof baru-baru ini, nombor itu diseragamkan semula bagi mengelakkan keciciran ketika panggilan kecemasan dibuat selain bertujuan memantau panggilan palsu yang semakin serius.

   Malah jelas beliau, tumpuan kerja kini adalah untuk mempertingkatkan sistem penerimaan panggilan di Telekom Malaysia yang akan berfungsi sebagai pusat penerimaan panggilan kecemasan (999). Di samping itu, TM juga dengan mudah mengenal pasti setiap panggilan yang dibuat menerusi talian kecemasan itu kerana nombor pemanggil akan tertera yang dapat disimpan untuk rekod dan rujukan.

   Beliau juga mengharapkan dengan penggunaan satu talian kecemasan sahaja, diharapkan tidak timbul lagi masalah panggilan tercicir kerana ketika itu semua respons akan diambil segera oleh operator terlatih sebelum maklumat dihantar kepada agensi penyelamat yang diminta oleh pemanggil.

   Melihat kepada keperluan itu, kesedaran di kalangan masyarakat terutama kepada generasi muda khususnya di kalangan kanak-kanak mengenai pentingnya pengawalan daripada melakukan panggilan palsu pada talian 999 terus diperhebatkan termasuk menyediakan poster-poster menarik diletakkan di tempat-tempat awam termasuk sekolah.

Petikan dari Utusan Malaysia 10 Julai 2007