Konvoi Labuan bawa sumbangan untuk mangsa gempa Kundasang

LABUAN: Satu konvoi terdiri daripada 23 kenderaan pacuan empat roda meneruskan perjalanan hari ini menuju ke Kundasang, Sabah dalam misi bantuan gempa bumi. Misi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu membabitkan sekurang-kurangnya 10 jabatan dan agensi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan membawa keperluan asas untuk mangsa gempa bumi dan bagi keperluan surau berjumlah RM40,000. Agensi terlibat ialah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Perbadanan Labuan (LC), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Penyiaran (RTM), Jabatan Penerangan, Persatuan Pengakap Malaysia (Pengakap), Gerak Kasih, Majlis Belia Labuan, Pejabat Parlimen Labuan, Wanita UMNO Labuan dan Kelab Triton Borneo. Penyelaras Misi, Awil Kansari memberitahu BERNAMA 60 anggota misi akan sampai di Kundasang pagi esok dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di sana. “Misi itu telah dirancang sejak gempa bumi melanda kawasan tarikan pelancongan Sabah itu dan kami berjaya mengumpul sumbangan untuk diagihkan kepada mangsa esok,” kata beliau. Beliau berkata, ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam akan menyambut ketibaan kumpulan itu esok dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa termasuk golongan asnaf dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lohan dan kepada tiga surau.

(Sumber Berita Harian Online 26/06/2015)

Print Friendly, PDF & Email
Share