Balik Pulau dilanda banjir selepas hujan hampir 4 jam

GEORGETOWN: Beberapa kediaman di kawasan Balik Pulau, di sini dinaiki air selepas paras sungai naik mendadak akibat hujan lebat berterusan hampir empat jam hari ini. Hujan lebat sejak 6 petang tadi telah menyebabkan kawasan rendah di Balik Pulau dan beberapa kawasan di sekitar bandar dilanda banjir. Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata selain kawasan perkampungan di Balik Pulau, antara kawasan yang dilaporkan dinaiki air adalah Bayan Lepas, Jalan P. Ramlee, Relau dan Bandar Baru Ayer Itam. Katanya, setakat ini keadaan banjir di beberapa kawasan itu masih terkawal dan air hanya naik dibawah paras lutut. “Hanya sebuah rumah yang agak teruk dinaiki air iaitu di Pondok Upeh, Balik Pulau namun pemilik rumah sempat mengemas barangan ke tempat yang lebih tinggi. Anggota JPAM juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan namun keadaan kini dilaporkan terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – BERNAMA
(Arkib Berita Harian Online 03/08/2015)
Print Friendly, PDF & Email
Share