ESSCOM tingkat tahap keselamatan ketika Aidilfitri

KOTA KINABALU: Ops Selamat di kawasan perairan khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan memperkukuhkan kawalan keselamatan untuk mengatasi jenayah rentas sempadan sepanjang Aidilfitri. Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer, berkata polis menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengambil langkah bersesuaian untuk memperkukuh keselamatan di ESSZONE. “Semalam diumumkan penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melaksanakan pemantauan di ESSZONE dan mereka akan digerakkan segera bermula musim perayaan ini,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat Lima peringkat Sabah, di sini, sebentar tadi. Pada masa sama, katanya, tumpuan khusus diberi kepada 30 kawasan sering berlaku kemalangan di seluruh negeri selain menggerakkan anggota polis mengekang aktiviti jenayah musim perayaan khususnya pecah rumah. Beliau berkata, lebih 200 petugas dikerah melaksanakan Ops Selamat di negeri ini termasuk agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

(Sumber Arkib Berita Harian Online 10/07/2015)

Print Friendly, PDF & Email
Share