JPAM kini di bawah Jabatan Perdana Menteri – Zahid

PUTRAJAYA: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dipindahkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini. Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media sebentar tadi. Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim akan dipertanggungjawabkan menerajui bahagian pengurusan bencana alam. “JPAM akan menjadi agensi tunggak yang akan melaksanakan pelbagai perkara berkaitan soal bencana alam. “Saya yakin entiti baru di bawah naungan JPM akan memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam memberi tumpuan mengenai soal bencana alam yang tidak lagi di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). “Perkara ini adalah atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ia sudah pun diputuskan sebelum rombakan kabinet dilakukan,” katanya. Terdahulu, Ahmad Zahid memotong pulut kuning sebagai tanda diraikan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Turut hadir kedua-dua timbalannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Anak Kujat.
(Arkib Berita Harian Online 29/07/2015)
Print Friendly, PDF & Email
Share