Sabah Lancar Ops Bantu

KOTA KINABALU – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah melancarkan ‘Ops Bantu X (ke-10)’ hari ini bagi menyalurkan bantuan kecemasan kepada pengguna jalan raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina, Khamis ini.

Pengarahnya, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata sebanyak 485 anggota terlibat dengan operasi melibatkan 14 jalan utama dan 10 daerah di seluruh negeri itu.

Beliau berkata, operasi itu terbahagi kepada dua fasa iaitu 16 hingga 18 Februari dan 22 hingga 24 Februari ini.

“Kawasan operasi termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kota Marudu, Beaufort, Pitas, Keningau, Tongod dan Tuaran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi tersebut di sini.

Beliau berkata, sepanjang operasi ini, anggota JPAM akan melakukan rondaan mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam bagi membantu pengguna jalan raya yang menghadapi kesulitan ketika dalam perjalanan menuju ke destinasi masing-masing.

Inisiatif rondaan ini, kata Mulliadi, merupakan usaha JPAM dalam memastikan bantuan kecemasan dapat diberikan dengan pantas kepada pengguna jalan raya. – Bernama

(Sumber Sinar Harian Online 16/02/2015)

Print Friendly, PDF & Email
Share