Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
PERUTUSAN KETUA PESURUHJAYA ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA SEMPENA TAHUN BAHARU 2021
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita berjaya mengharungi tahun 2020 dengan penuh dedikasi dan jayanya. Tahun 2020 berlalu begitu pantas dan kini kita telah melangkah ke tahun 2021 dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua warga APM di seluruh negara.
Mendepani Cabaran Bencana Alaf Baharu
- Sejak Februari 2020 lalu hingga ke saat ini, negara masih dan sedang berperang mencegah penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Tahun 2020 merupakan tahun yang cukup bermakna bagi seluruh warga Angkatan kerana pelbagai cabaran dan usaha bagi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terjamin sedikit sebanyak telah mengangkat imej APM di mata Kerajaan dan rakyat. Pengiktirafan APM selaku petugas barisan hadapan atau “frontliner” menandakan bahawa pentingnya fungsi dan peranan APM dalam menjaga keselamatan serta memberi perlindungan kepada rakyat. APM berperanan besar dalam menguruskan pusat kuarantin seluruh negara, rondaan omnipresence, pengagihan makanan di kawasan PKPD, bersama agensi lain dalam pelaksanaan dan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan, penugasan bantuan Op Benteng serta lain-lain tugasan yang turut melibatkan APM. Pembentukan sebuah pasukan yang unggul bermula dengan disiplin diri yang tinggi. Justeru, amat penting bagi seluruh warga APM untuk menjaga sahsiah diri terutamanya dari segi penampilan diri mengikut garis panduan dan peraturan beruniform yang telah ditetapkan.
- Melangkaui tahun baharu nanti, harapan buat semua warga APM agar terus bersemangat, memelihara amanah dan berintegriti serta ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dipertanggungkan. Warga APM di setiap peringkat perlu mematuhi proses kerja yang telah ditetapkan agar setiap urusan kerja dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. Justeru, secara tidak langsung dapat mengurangkan penerimaan aduan negatif daripada masyarakat awam.
Pemantapan Sistem Penyampaian Perkhidmatan
- Dalam memantapkan sistem penyampaian, APM akan terus memberi fokus kepada usaha menambahbaik dasar dan sistem penyampaian perkhidmatan Angkatan sedia ada, baik dari segi pelaksanaan operasi mahupun perkhidmatan yang lain. Sasaran utamanya adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat seluruh rakyat dalam membantu Kerajaan mengekalkan keamanan negara dan kesejahteraan awam agar kualiti hidup rakyat dapat terus dipertingkatkan. Sehubungan itu, tumpuan khusus mesti diberikan kepada usaha untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan bagi seluruh Pusat Kawalan Operasi (PKO) dan perkhidmatan kecemasan MERS999 dari segi mekanisme pelaksanaan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian serta sistem pengukuran prestasi yang lebih kemas dan sistematik.
Meningkatkan Kredibiliti dan Integriti
- Oleh yang demikian, warga APM perlu bekerja dengan penuh dedikasi dan ikhlas dalam melaksanakan setiap amanah yang dipikul. Moto “Sedia Pantas Berintegriti” hendaklah dipegang teguh dan perlu sentiasa disemat dalam diri semua pegawai dan anggota APM. Kecemerlangan selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Negeri dan Daerah perlu dikekal dan dipertingkatkan. Setiap warga APM bertanggungjawab memastikan seluruh kakitangan menjaga sahsiah diri, tingkahlaku, pemakaian dan integriti dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Ketinggian teknologi informasi dunia masa kini bukan sahaja boleh memberi kelebihan buat APM untuk terus dikenali bahkan sebaliknya boleh menjadikan imej APM tercalar. Oleh itu, setiap warga APM bertanggungjawab memastikan tiada perkara negatif dalam tindakan masing-masing yang boleh menjadikan nama baik APM tercemar dan dipandang rendah.
- Dalam hal ini, suka saya menyeru kepada semua warga APM agar bekerjalah secara lebih matang dan profesional. warga APM perlu memastikan tiada salahlaku negatif dalam kalangan pegawai dan anggota iaitu apa jua perkara yang melibatkan hubungan-hubungan yang tidak bersesuaian antara pegawai dan anggota mahupun sebaliknya. Justeru, semoga dengan kedatangan tahun 2021 ini, seluruh warga APM akan lebih cemerlang, proaktif dan meningkatkan semangat bekerja dalam satu pasukan tanpa ada impak negatif.
- Tahun ini juga merupakan tahun yang penting bagi APM kerana Pelan Strategik 2021-2025 telah dirangka untuk menetapkan hala tuju bagi tempoh lima (5) tahun akan datang. Pelan ini akan menjadi agenda perancangan dalam mencapai visi dan misi yang ditetapkan serta mendokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Sustainable Development Goal 2030. Pelan ini juga akan menetapkan dengan jelas hala tuju, teras strategik, bidang keberhasilan, sasaran utama serta petunjuk prestasi utama yang perlu dicapai serta kaedah pemantauan yang lebih sistematik untuk memastikan matlamat utama Angkatan iaitu keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat kekal terjamin.
Bangkit dari kekurangan
- Justeru, bagi memastikan APM terus berada dalam landasan yang betul dalam memacu halatuju yang digariskan, saya menyeru kepada semua warga APM tidak kira sama ada pegawai tetap, anggota sukarela, pegawai Kehormat dan Bersekutu, Kor SISPA, PISPA, KASPA, TUNAS APM serta pasukan-pasukan CDERT yang bernaung di bawah APM agar kita sama-sama meninggalkan cara bekerja yang lama dan membuat perubahan menyeluruh serta bermula semula dengan semangat baru di tahun 2021 ini. Berbekalkan pengalaman pahit manis perjuangan selama ini, marilah kita bersama bangkit dan mengorak langkah untuk berubah ke arah yang lebih baik dari tahun sebelum ini.
- Besar harapan saya agar seluruh warga APM terus meningkatkan disiplin diri dan mematuhi apa jua perintah dan batasan yang digariskan di dalam perundangan, peraturan dan kaedah termasuk semua arahan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa. Akhir kata, semoga tahun 2021 ini akan menjadi titik tolak pemerkasaan dan pemantapan APM ke aras yang lebih tinggi seiring dengan perubahan dan disiplin diri agar kita semua dapat bekerja dalam satu pasukan beruniform yang disegani masyarakat. Semoga setiap langkah yang kita ambil adalah langkah ke arah kejayaan dan kecemerlangan serta segala usaha murni kita untuk memartabatkan perkhidmatan diberkati Allah Subhanahu Wa Taala dan mencapai matlamat yang dihasratkan.
“TO BE THE BEST, WE MUST OVERCOME THE WORST.”
Sekian terima kasih.
KPj. (PA) Aminurrahim Bin Mohamed
Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam
1 Januari 2022