Perutusan Ketua Pesuruhjaya APM

YAS KPj. (PA) Datuk Roslan bin Wahab

Chief Commissioner

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

 

PERUTUSAN KETUA PESURUHJAYA ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA SEMPENA TAHUN BAHARU 2020

 

Setiap kali memasuki tahun yang baharu maka setiap kali jugalah kita akan memikirkan apakah azam dan iltizam yang kita hajatkan untuk dicapai telah terhasil atau hanya tinggal impian. Hakikat ini memerlukan kita melihat semula sejauh mana pencapaian tahun terdahulu dan tahun semasa lantas menilai semula sama ada perlunya azam terdahulu dihumban jauh atau diubahsuai atau dibuat azam yang baharu. Tidak lupa juga kita akan melihat apakah kekangan sebenar yang menghalang kita mencapai azam tersebut.

Memasuki tahun 2020 ini bukanlah bermakna kita semua tidak boleh mengangankan sesuatu yang besar. Tahun baharu ini juga bermakna telah 68 tahun kewujudan Pertahanan Awam di Malaysia – sudah seharusnya memasuki tempoh yang sangat matang. Namun, saya sejujurnya menganggap kita bukan lagi jalan bertatih tetapi telah mula melangkah jika diambil kira permulaan dan perubahan dari sebuah Jabatan kepada sebuah Angkatan sejak 1 September 2016 yang lalu. Walau tampak masih terlalu muda, ianya tetap memerlukan kita mengambil pendekatan yang agresif dan inklusif dalam semua perancangan dan tindakan.

Perlu saya mengingatkan bahawa YAB Perdana Menteri pada 24 Februari 2019 lalu meletakkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai penanda aras semangat kesukarelaan negara. Pengiktirafan ini amat besar maknanya dan menjadi cabaran yang besar untuk diterjemahkan oleh kita semua menjadi suatu realiti seperti dihasratkan YAB Perdana Menteri. Sebagai bekas anggota APM semasa era 1950an, pastinya YAB Perdana Menteri mahu melihat APM yang setanding atau setara dengan agensi pertahanan awam di luar negara yang gah dan perkasa melaksanakan fungsi yang sama dengan kita.

Asas yang telah terbina selama ini memerlukan pemerkasaan – dalam ertikata memberi keutamaan untuk menambahbaik semua struktur yang ada sebelum diperkembang atau diperluaskan. Justeru itu, struktur Angkatan wajar diperkasa asasnya meliputi dasar perundangan, pengurusan, susunan formasi, tata disiplin, imej, tradisi, perkhidmatan dan kepakarannya. Angkatan yang mantap pastinya akan terserlah kesepaduannya dengan dukungan elemen khidmat sokongan pentadbiran, sumber manusia, kewangan, publisiti, sistem, aset, etika dan nilai serta budaya kerja berintegriti yang saling melengkapi.

Menyedari kekangan yang ada – tradisinya tertanam dalam minda kita selama ini dengan isu kekurangan perjawatan, bajet, aset dan sebagainya tetap saban tahun menghantui kita. Tetap juga kekangan ini tidak mengurangkan kemampuan kita untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan baik dalam pengurusan pentadbiran, pengurusan kecemasan dan bencana serta pengurusan Angkatan. Tetap juga dalam keterbatasan ini kita masih dapat menambah aset logistik termasuk pejabat-pejabat baharu; statistik perkhidmatan MERS999 dengan trend meningkat setiap tahun; perkhidmatan bencana yang memperlihatkan APM sentiasa berada di mana-mana dalam semua situasi bencana; tahap kemahiran warga APM yang semakin menyerlah dan diperlukan khidmat nasihatnya oleh agensi lain; peningkatan minat pelbagai organisasi yang berminat untuk berkolaborasi; pertambahan penyertaan yang tinggi dalam penubuhan pasukan-pasukan sokongan dan ikonik Angkatan.

Menyedari semua ini, suka saya menyeru semua warga APM di semua peringkat; Pegawai Tetap dan ASPA yang merupakan tulang belakang Angkatan, dengan Pegawai Kehormat dan Bersekutu, Kor SISPA, PISPA, KASPA, TUSPA dan CDERT yang melengkapi Angkatan untuk tidak menjadikan sebarang kekurangan sebagai halangan untuk memperkasakan APM. Sebaliknya, anggaplah ia sebagai guru untuk kita mencari kaedah penyelesaian yang terbaik tanpa menjejaskan fungsi dan perkhidmatan kita. Hanya dengan berfikiran positif, memelihara integriti, sedia bekerja dengan semangat berpasukan, peka dan prihatin, saling memudahkan urusan, bertindak secara bijaksana dan mematuhi semua peraturan dan garis panduan ditetapkan akan menjadikan APM disegani dan dihormati.

Ingatlah, bahawa kita telah berdiri selama 68 tahun dan kita jugalah yang bertanggungjawab untuk memastikan APM ini terus kekal relevan dan diperlukan kewujudannya oleh rakyat di negara ini. Sama-samalah kita berdoa agar APM terus menggapai kejayaan di masa hadapan dalam berbakti demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat negara tercinta ini.

 

‘SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2020’

 

Ikhlas dari saya,

Sekian, Wabilahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KPj.(PA) DATUK ROSLAN BIN WAHAB
Ketua Pesuruhjaya
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

Print Friendly, PDF & Email