Perkhidmatan Kecemasan 999

banner999

Perkhidmatan Talian Kecemasan 991

Perkhidmatan yang dikenali sebagai Talian Kecemasan 991 telah dilancarkan pada 21 Mei 1995 dan Pejabat Pertahanan Awam Kuala Lumpur telah menjadi perintis kepada talian ini. Ini diikuti dengan pelancaran talian 991 yang sama di negeri Pulau Pinang, Bandar Ipoh, Johor Bahru dan Kuching. Perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma ini semakin mendapat perhatian masyarakat dan kemudiannya diperluaskan ke seluruh cawangan yang sedia ada. Kesannya, sehingga 13 Disember 2000, semua 17 pejabat cawangan di semenanjung, Kuching dan Kota Kinabalu telah memberikan perkhidmatan kecemasan melalui talian 991. Skop perkhidmatan yang diberikan adalah meliputi hampir kesemua kes kecemasan yang berlaku seperti kemalangan jalan raya, terperangkap, hilang atau sesat di hutan serta kemalangan di air semakin menonjolkan peranan dan kemahiran yang dimiliki oleh pasukan. Pasukan pertahanan awam pada masa ini terus diberikan peranan utama dalam gerakan mencari dan menyelamat serta semasa berlakunya banjir besar yang berlaku hampir setiap tahun.

Talian 999

Mulai 1 Oktober 2007 talian kecemasan 999 telah diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia dengan menggabungkan semua nombor kecemasan iaitu 991, 994 dan 999 ke dalam satu nombor kecemasan yang melibatkan agensi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengintegrasikan pengurusan data, bilangan kekuatan agensi dan penggunaan sistem yang bersepadu bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kecemasan di antara agensi dengan satu prosedur dan tatacara perkhidmatan yang seragam bertepatan dengan hasrat kerajaan melalui motto “Satu Malaysia satu Nombor”. Sebanyak 2 buah Pusat Panggilan Malaysia Emergency Response System (MERS) JPAM telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 2008 dan pada tahun 2012 sistem tersebut telah diperluaskan di negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Setiap panggilan melalui talian kecemasan 999 adalah percuma.Sistem penerimaan panggilan kecemasan 999 mampu mengenalpasti setiap panggilan yang dibuat kerana nombor pemanggil akan tertera untuk disimpan bagi tujuan rekod atau rujukan. Ini dapat membantu mengelakkan keciciran ketika panggilan kecemasan dibuat di samping memantau panggilan palsu. Setiap panggilan palsu boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hubungi Kami

Untuk Makluman Lanjut, sila Hubungi :

Kol (PA) Sharudin bin Md Zain
Pengarah
Bahagian Bencana dan Operasi
Ibu Pejabat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

No Tel : 03-8920 6080
No Fax : 03-8920 6360
Email : sharudin@civildefence.gov.my

 50,447 total views,  82 views today