Justeru, JPAM Segamat mengadakan beberapa siri latihan bagi memastikan semua anggotanya mampu menguasai teknik menyelamat yang betul selain meningkatkan tahap fizikal, mental serta kerjasama dalam kalangan mereka ketika berdepan situasi mencabar dan tidak diduga.
Pegawai JPAM Segamat, Naszlan Roslan berkata, siri pertama latihan pada tahun ini adalah latihan menyelamat di tempat tinggi yang memberi penekanan khusus terhadap teknik menyelamat mangsa di kawasan berbukit dan tebing tinggi menggunakan tali dan diserta 54 anggota di Hutan Lipur Taka Melur, dekat sini baru-baru ini.
“Sepanjang latihan, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik pengunaan tali yang betul untuk membawa naik dan menurunkan ‘mangsa’ seberat 120 kilogram di kawasan jeram berbatu yang turut menguji tahap ketahanan mental serta fizikal.
“Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka turut dinilai dari aspek kerjasama kumpulan, kecergasan, disiplin serta keupayaan menyelesaikan masalah dengan cara yang cepat dan berkesan,” katanya ditemui semasa menyertai latihan itu.
Hasil penilaian sepanjang latihan tersebut akan digunakan sebagai panduan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada selain untuk membentuk pasukan yang mantap dan bersedia dari segenap aspek tanpa mengira bentuk bencana setiap kali diperlukan menjalankan tugasan menyelamat.
Naszlan berkata, memandangkan anggota JPAM terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang serta keupayaan dan kemahiran yang berbeza, maka latihan berterusan diyakini mampu memupuk semangat kerjasama berpasukan serta meningkatkan kecergasan dan kemahiran yang amat diperlukan ketika menjalankan tugas.
Menurutnya, ketika ini keanggotaan JPAM Segamat hampir mencapai jumlah 1,500 orang, namun hanya kira-kira 150 anggota yang bergiat aktif dan sedia digerakkan dalam tempoh sejam pertama sekiranya berlaku bencana di daerah ini.
Beliau yakin bilangan anggota yang aktif dapat ditingkatkan menerusi penganjuran pelbagai kursus dan latihan yang bukan sahaja memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran menyelamat serta penggunaan peralatan, malah turut memberi tumpuan terhadap aspek kepimpinan.
Pada masa yang sama, pihaknya juga menjalankan usaha menarik minat kaum lain seperti Cina dan India untuk menyertai JPAM kerana penglibatan daripada kedua-dua kaum itu masih kecil berbanding Melayu.
“Satu kajian menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca yang membuatkan kedua-dua kaum tersebut kurang berminat menyertai pasukan JPAM dan hasil kajian akan dijadikan panduan dalam usaha kami menarik minat lebih ramai belia Cina dan India.
“Penyertaan kedua-dua kaum tersebut ke dalam pasukan JPAM pada masa akan datang adalah penting bagi memastikan JPAM tidak dilabel sebagai pasukan yang hanya ‘dikuasai’ oleh satu kaum sehingga menimbulkan salah tanggapan dalam masyarakat,” katanya.