Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa bencana memerlukan satu organisasi tersusun supaya pengurusan bencana alam negara berjalan lancar.
“Dalam soal ini, saya merasakan JPAM merupakan satu agensi kerajaan yang layak memikul tugas ini berdasarkan peranan mereka ketika bencana banjir di Kelantan dan Perak, tahun lalu.
“Pihak kementerian akan mengusulkan perkara ini kepada kerajaan supaya JPAM diberikan amanah untuk mengepalai kerja-kerja menyelamat antara agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika berlakunya bencana alam,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Khas Bersama Artis Bersekutu JPAM di sini malam ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah JPAM, Datuk Zaitun Ab. Samad.
Dalam majlis itu, seramai 70 artis terkenal tanah air antaranya Datuk Hattan, Datuk Nash dan Nassier Wahab diraikan bagi menghargai jasa mereka dalam menyokong JPAM selama ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid meminta artis bersekutu JPAM menarik lebih ramai selebriti untuk menyertai agensi penyelamat itu dalam usaha menyokong dan menghulurkan bantuan terhadap kerja-kerja kesukarelawanan di negara ini.