Polis buru suspek halang tugas penguat kuasa di Besut

BESUT: Polis sedang memburu beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam perbuatan menghalang tugas tiga anggota penguat kuasa dalam membanteras kegiatan pembalakan haram di Jalan Pasir Akar Hulu Besut pada Ahad lalu. Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah, berkata dalam kejadian 1 tengah hari itu tiga penguat kuasa yang terdiri daripada seorang anggota polis, seorang pengawas hutan dan seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedang mengawasi sebuah jentolak untuk proses disita. Katanya, ketika sedang menunggu kedatangan lori pengangkut, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki yang tidak diketahui bilangannya, menaiki tiga buah kenderaan membabitkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux, sebuah kereta Honda dan sebuah MyVi. “Lelaki berkenaan cuba menghalang ketiga-tiga penguat kuasa berkenaan manakala seorang daripada mereka telah melarikan jentolak yang hendak disita ke dalam hutan berdekatan sebelum suspek beramai-ramai melarikan diri dengan kereta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, pihaknya yang mengambil tindakan segera di atas laporan yang dibuat oleh seorang daripada penguat kuasa terbabit telah dapat menangkap seorang daripada suspek di tepi Jalan Besar Kampung Raja di sini tengah hari semalam. Katanya, pihaknya kini sedang mengesan suspek lain yang terbabit dalam kejadian manakala jentolak yang dilarikan masih belum ditemui.

(Sumber Arkib Berita Harian Online 23/06/2015)

Share