Bot karam, empat lemas, tiga lagi masih hilang

TANJUNG KARANG: Tiga wanita dan seorang lelaki lemas manakala tiga lagi lelaki masih hilang dalam satu kejadian bot karam di perairan berdekatan Jeti Bagan Pasir, di sini, awal malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi, semua mangsa dikatakan sedang menjalankan upacara keagamaan iaitu membuang abu mayat bersama tujuh orang lagi. Tujuh lagi penumpang itu iaitu enam lelaki dan seorang wanita, terselamat. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul, berkata kejadian berlaku di kedudukan dua batu nautika daripada jeti berkenaan. “Seramai enam anggota polis, sembilan anggota bomba dan tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat. “Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan berikutan keadaan gelap menyukarkan usaha mencari dan menyelamat,” katanya kepada pemberita. Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.

(Arkib Berita Harian Online 16/07/2015)
Share