Pekerja syarikat swasta digalak sertai badan sukarela

KANGAR: Sektor swasta, khususnya pekerja di syarikat besar digalakkan untuk menyertai badan-badan sukarela secara aktif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Beliau berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai dua juta sukarelawan di agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menjelang 2020. “Ini bagi memperkemaskan penyaluran bantuan kepada mangsa semasa bencana. Penyertaan pekerja swasta dalam badan sukarela belum mencapai tahap memuaskan terutama di bandar-bandar,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan mesin gergaji kepada JPAM Perlis dan mesin pemotong rumput kepada Jabatan Koreksional Perlis di sini semalam. Shahidan berkata, anggota sukarela JPAM di seluruh negara setakat ini berjumlah 855,000. Sementara itu, beliau berkata tindakan sedang diambil untuk membekalkan lima buah bot gentian kaca yang boleh memuatkan lapan orang di setiap daerah di negeri ini bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir dalam masa terdekat. – BERNAMA

(Arkib Berita Harian Online 07/08/2015)

Share