JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan pada jam 4 petang ini di dua pusat pemindahan di Johor tidak berubah dari tengah hari tadi iaitu 26 orang.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Johor, Kol (PA) Mat Zin Bujang dalam satu kenyataan berkata, Balai Raya Gemereh 4 dalam daerah Segamat menempatkan mangsa seramai 20 orang daripada empat keluarga.

Di Kota Tinggi pula, Balai Raya Kampung Lepau di Pengerang menjadi tempat teduhan bagi enam orang mangsa daripada tiga keluarga.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Segamat Staf Muda (PA) Mohd Nazlan Ruslan ketika dihubungi berkata, di daerah Segamat hanya Kampung Seberang Batu Badak yang masih dilanda banjir dengan ketinggian air kira-kira tiga kaki (0.9 meter). – Bernama

 

(Petikan Sinar Harian Online 04/01/2016)